Friday, March 27, 2009

Mencari Ismail Akhir Zaman

Mengambil iktibar sejarah Siti Hajar a.s. berumah di padang pasir tandus bersama seorang anak, suami meninggalkannya bukan kerana benci tapi patuh dengan perintah Allah. Dalam pada itu suami terus mendoakan isteri selamat.
Hajar patuh kerana dikhabarkan itu perintah Allah. Dalam kepayahan kekeringan bekalan melangkah mencari air 7 kali berulang dari bukit Safa dan Marwa yang panas. Hajar tak pernah putus asa dalam membesarkan zuriatnya. Maruah diri dan kemuliaan sebagai isteri yang dititip terus dijaga. Hati si ibu sentiasa menyuburkan jiwa dan akal anak yang bernama Ismail a.s., bahawa si ayah insan yang hebat, insan penyayang, keluar meninggalkan keluarga atas tanggungjawab sebagai pemimpin kepada umat.
Kepada isteri, Ibrahim a.s. genggamkan amanah, jagalah anak sebaiknya. Ismail dididik jiwa menjadi manusia berakhlak diberikan pendidikan sebaiknya oleh ibunya . Hidup dalam kelompok ilmuan yang tumpang berkampung di bumi Makkah apabila dikhabarkan bumi itu telah dilimpahi air berkat – air zam-zam yang tak pernah kering sehingga kini.
Kesan didikan ibu yang mulia, anak bernama Ismail menjadi Nabi yang lemah-lembut dan penyantun sehebat peribadi bondanya. Sehinggakan ayahandanya Ibrahim mengkagumi peribadinya saat diri dipertaruhkan untuk dikorbankan. Ismail masih berlembut, masih menghormati ayah yang sekian lama tidak ditemui, masih terus bertanya apakah ini perintah Allah? Apabila perintah Allah menjadi keutamaan segala-gala urusan peribadi diketepikan demi keyakinan tauhid benar-benar pada Allah.
Alangkah payahnya untuk kita memiliki keyakinan seperti ini jika hati tidak sentiasa mengingati dan mencintai Allah sungguh-sungguh.
Tiga beranak ini meletakkan cinta Allah adalah untuk segala-galanya, di mana akhirnya Allah telah menghadiahkan satu hadiah yang cukup besar iaitu kemuliaan Aidil Adha dan bumi Makkah bumi paling berkat pengikat hati umat bersatu. Dari Ibrahim lahir zuriat bernama Ismail dan dari sulbi Ismail lahirnya manusia agung bernama Muhammad Rasulullah. Nabi juga dibesarkan tanpa kasih seorang ayah. Tanpa sempat menatap wajah ayah, tanpa pernah memanggil kalimah ‘ayah’ seperti Ismail a.s. Dibesarkan oleh ibu dalam limpahan kasih namun tidak lama, dibesarkan pula oleh datuk dan ayah saudaranya, belajar bermasyarakat dan berkongsi kasih dengan sepupu-sepupunya. Belajar menempuh pelbagai kesusahan dari kecil.
Mengambil iktibar kisah Siti Hajar dan Ismail dan juga kisah kehidupan Rasulullah bahawa proses untuk mendapat kesenangan hidup mesti bermula dengan kesusahan. Proses untuk melahirkan generasi muda sehebat Ismail juga mesti melalui pelbagai dugaan. Iktibar Siti hajar berulang alik dari bukit Safa ke Marwa itu adalah kehidupan seharian kita yang berulang alik keluar rumah mencari rezeki. Dengan pelbagai ujian panas hujan, kekangang masa, kesesakan di jalan raya, pelbagai ragam manusia tatkala berurusan dengan manusia. Cabaran untuk terus ‘berjalan dan berlari anak’ mengejar masa mengatur kehidupan keluarga tetap kekal kita rasai setiap hari.
Untuk membentuk generasi hari ini menjadi hebat, kita mesti merancang seperti mana bijaknya Siti Hajar merancang kehidupan anaknya. Ibrahim a.s. yang dari kejauhan juga tetap merancang terhadap zuriat dan isteri yang ditinggalkan, doa, ibadah, kiriman khabar kepada sesiapa yang ke Makkah tidak dilupakan. Nabi Ibrahim a.s. tetap ada ‘remote control’ untuk kawal keluarganya dari jauh.
Kesimpulannya, usaha menjayakan perancangan membentuk keluarga sakinah perlukan kesabaran dan pengorbanan bersama ibu dan ayah. Ia sebenarnya satu jihad (perjuangan). Bukan kejayaan yang menjadi ukuran, tetapi sudah berbuat melaksanakan tanggungjawab yang menjadi ukuran. Jika berjaya, maka ia merupakan satu pelaburan yang bijak dan bermakna untuk ibu bapa di alam baqa’. Sebaliknya jika gagal maka bersedialah menghadapi kemurkaan Allah sepertimana ancaman Allah dalam al-Quran surah An Nisa, ayat 9: “Dan hendaklah merasa takut kepada Allah, orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang anak-anak zuriat keturunan yang lemah Sebab Allah telah mengancam ibu bapa yang mati meninggalkan zuriat keturunan yang lemah.”
Generasi yang kuat pada fizikal,besar jiwanya, lurus dan benar akidahnya, betul serta sah ibadahnya. Teguh dan terpuji akhlaknya, terpelajar dan waras akalnya, kuat kemahuan, tidak mudah putus asa bercita-cita menjadi pejuang agama dalam apa jua bidang. Peka dengan ilmu kemahiran hidup mampu berusaha memasyarakatkan diri dengan kehidupan yang penuh berdikari. Alangkah idealnya cita-cita ini dan alangkah bahagia andai keinginan di atas berjaya dipenuhi. Hayati fokus ANIS APRIL 2008, menghuraikan‘Pengaruh Langsung Kesolehan Orang Tua’ yang perlu kita contohi untuk membentuk generasi seperti di atas.

No comments:

Post a Comment