Friday, March 27, 2009

Emak Kaya Sifat Nabi

Kita sayang sangat-sangat dengan emak kita. Kala ini andai emak yang diingat telah tiada pasti airmata menitis merinduinya. Pasti sebak mencengkam dada. Andai emak masih ada depan mata rasa hendak ditatang sebaiknya. Sebak rasa didada kala melihat ada anak yang menengking emak semahunya. Tapi terlau ramai anak yang sengaja lambat menjawab bicara emak. Kerana emak kita bukan bonda di istana. Cuma manusia biasa-biasa di mata kita. Tetapi apabila bonda telah memejamkan mata cengkaman rindu baru terasa. Terasa sayang sangat-sangat padanya. Itulah fitrah naluri ibu dan anak tidak dapat dipisahkan.Kenapa kita sayang sangat-sangat dengan emak? Kerana emak kaya dengan sifat Nabi SAW. Nabi orang yang sangat berakhlak. Tutur kata dan perilakunya disenangi semua orang. Nabi orang yang paling Allah kasihi, mengasihi ibu bagaikan kita mengasihi Nabi SAW. Nabi doanya sangat makbul kerana Allah sayang. Ibu juga doanya makbul kerana Allah sayangkan ibu kerana ibu mewarisi peribadi luhur seorang Nabi. Ibu melalui pelbagai penderitaan dalam proses melahir dan membesarkan kita. Kata-kata ibu yang lemah-lembut, santun pekerti ibu yang kaya dengan sifat sabar, setia, pengasih dan menaruh harapan tinggi agar kehidupan anak senang dalam keberkatan Allah.Begitulah Nabi ketika berdakwah terus menaruh harapan dan tidak pernah putus asa dengan ragam umatnya umatnya. Kemuncak bukti terlalu kasihnya Rasulullah kepada umat sehingga kala baginda hendak wafat diminta kepada Allah SWT agar segala kesakitan sakaratulmaut umatnya di akhir zaman ini ditanggung oleh baginda. Sayangnya baginda pada kita umat yang tidak pernah dilihat tetapi terasa dekat dihatinya. Begitulah juga ibu. Kala anak sakit, ibu minta Allah diringankan atau pindahkan sakit itu pada ibu. Ibu rela menyanggupi segala kesakitan anak ditanggungnya. Ibu sanggup ‘pindahkan’ nyawanya asal anak hidup bahagia. Ibu sanggup pertaruh nyawa kala hendak melahirkan kita.Itulah ibu kita, terlalu merendah diri mengaku diri tidak pandai tetapi sebenarnya mereka bukan tidak pandai, tapi desakan dan kesusahan hidup menjadikan diri ibu kita terpaksa menerima kehidupan seadanya sesuai dengan kehendak zamannya ketika itu. Di atas ketekunan sifat baiknya dalam melayani karenah kita akhirnya kita menjadi orang berjaya, berpelajaran dan mampu menambah-baikkan kehidupan keluarga.Kita mesti jadi lebih baikEmak tetap emak, dan kita juga telah bergelar emak di era IT. Walau cara memasak dan menguruskan rumah kita banyak menggunakan butang kawalan, cara menghantar anak ke sekolah sudah tidak berkelek, sebaliknya turun kereta naik kereta, turun bas naik bas, tetapi harapan dan ungkapan untuk melihat anak menjadi orang berjaya malah lebih berjaya dari kita terus kita harapkan. Dan sangat-sangat mengharapkan..Bezanya cara kita menguruskan anak mengikut perkembangan zaman. Namun nilai-nilai murni baka kesolehan orang tua-tua, peribadi luhur warisan tinggalan emak mesti dikekalkan malah ditambah baikkan. Kita pelajari banyak ilmu dari guru-guru, melalui pembacaan, pergaulan dan pemerhatian maka semakin meningkat ilmu pengetahuan dan penghayatan agama telah kita perolehi. Kita kembangkan kepada anak-anak. Anak melihat bicara dan santun budi kita. Mereka adalah perakam setia peribadi kita, semuanya tercatat diminda anak-anak dan berbekas di hati. Yakinlah, apabila ibu bersungguh-sungguh mencontohi peribadi Nabi SAW sepanjang hayatnya, anak-anak juga akan berbangga mencontohinya walau secara tidak mereka sedari. Insya-Allah jalan hidup anak-anak akan berada dilandasan yang benar. Sebab apa yang dirakam akan dikeluarkan semula. Kerana janji Nabi SAW, barangsiapa yang menghidupkan sunahku akan beroleh keberkatan.Aku adalah ibu. Aku mahu berusaha gigih mendokong watak Nabi kerana walaupun Nabi seorang lelaki tetapi santun budi dan tutur katanya melengkapi peribadi seorang manusia kearah mencintai dan menyanjung Allah SWT. Harapanku semoga warisan kita berbangga dengan gelaran, ‘emak, mama, ibu, umi, mummy, bonda’ yang kita tinggalkan kepada mereka.Bagi ibu yang tidak pernah tahu apa yang dibuat selama ini merupakan sunnah Nabi, dan anggap itu sebagai rutin harian kembalilah memperhalusi perkerti. Tadahlah kitab-kitab hadis dan bergurulah. Selongkar kemuliaan keperibadian Nabi. Sesungguhnya nanti anda akan dapat jawapan, adab dan adat saling bersatu andai tidak disalahgunakan.SALAM MAULIDUR

No comments:

Post a Comment