Tuesday, July 21, 2009

Hidayah Pakai Tudung

Pada 5 julai09 lalu saya dijemput mengadakan demonstrasi pemakaian tudung pada Karnival Amal Wanita Puchong. Anjuran muslimat Pas.

Kepada urusetia saya bertanya, kenapa nak belajar bertudung, muslimat Pas kan dah cantik bertudung labuh. "Puan dijemput untuk bantu buat demonstrasi untuk golongan wanita yang baru nak belajar bertudung..." kata seorang urusetia yang terlibat. Saya akur dan pada petang Ahad itu saya mengadakan demontrasi. Puas dipujuk kepada muslimah yang hadir unuk jadi model tapi semuanya segan. Akhirnya muncul seorang wanita yang tidak bertudung ke depan. Dia mendapat tepukan sokongan. Dari satu tudung ke satu tudung saya gayakan kepadanya. Pesan saya kepada yang hadir, pakaian bertudung tidak semestinya dari fabrik yang mahal, murah asal pandai digayakan dengan bersyariat insya-Allah mendapat pahala.

Dalam banyak-banyak tudung yang digayakan ada satu tudung yang berkenaan dihati model saya tu. "Puan saya memang dah lama teringin nak bertudung, tapi tak tahu nak pakai yang macam mana. Saya nak bertudung, boleh bagi saya tudung ni. Saya nak pakai terus ni.." Tudung itu memang kesayangan saya sebab paling selesa dipakai. Nabi SAW menggalakkan kalau nak bagi pada orang lain bagilah yang terbaik yang paling kita sayang. Saya senyum...Bagilah...mudah-mudahan cetusan iman hidayah nak bertudung menjadi jariah...

Alhamdulillah wanita itu cantik bertudung. "Doakan saya kekal menutup aurat." Pintanya semasa berpelukan dengan saya. Semua yang hadir mendokan bersama.

Friday, June 12, 2009

Jangan Telungkupkan 'Cawan'

Tatkala menatap dari dekat wajah ayah Nik Nur Madihah, Nik Mohd Kamal bin Nik Mohd Omar bagaikan tidak percaya bahawa lelaki berkot hitam itu seorang nelayan. Dia tampak kacak Cuma langkahnya sedikit kaku bagaikan robot tatkala menaiki pentas. En. Kamal diberi penghormatan merasmikan buku Catatan Hati Nik Nur Madihah karya bersama anakandanya dan Ummu Hani Hj Abu Hasan, novelis muda tanah air.
Kami menyaksikan kasih Tuhan, kuasa, kudrat dan iradat-Nya telah memenuhi janji kepada setiap hamba yang bersungguh-sungguh meluruskan hati kepada-Nya. Dalam antara percaya atau tidak si ayah telah mengalirkan air mata sebak di atas pengorbanan seorang anak yang tawaduk menjulang ilmu Allah sehingga ayah dan ibu dihargai sebegitu tinggi di mata masyarakat.
Kata ayahnya, “Saya seorang nelayan, terasa canggung pakai kot berucap di atas pentas. Selalunya pakaian saya baju-t lusuh dengan semota di kepala, pentas saya adalah laut.”
Ayahnya petah mengungkap kata tanpa membaca teks ucapan, bagaikan orang yang telah biasa berucap berada di pentas. Intonasinya baik tanpa dapat dikesan dialek Terengganu. Nampak cukup berwibawa. Nyata bakat berani dan bijaknya seorang ayah diwarisi oleh Nik Nur Madihah. Dalam kejayaan yang diraih keuntungan mula dirasai, nikmat mula mendatangi. Tercetus bimbang dihati si ayah, “Kami biasa susah. Nikmat yang kami dapat ini adalah ujian yang paling kami takuti, takut lalai dan leka.”
Pesannya berkali-kali kepada kami yang hadir untuk mudah melentur anak, jaga sumber makanan yang kita suap kepada anak-anak, mesti dari yang halal dan dari sumber yang halal juga bukan syubhat. “Biar dapatnya sikit tapi betul-betul berkat. Biar isteri kita yang memasak untuk anak-anak. Air tangan ibu bawa berkat,”
Cawan siapa ditelungkupkan? Baca majalah ANIS bulan Jun 2009.

Saturday, March 28, 2009

Sihat Jasmani & Sihat Jiwa

Ketenangan jasmani apabila sedikit makan.
Ketenangan jiwa apabila sedikit berbuat dosa.

Hidup Mulia

Berhentilah merasa cemas, bersabarlah dalam menangggungnya, hadapilah kenyataan dengan teguh, berbuatlah sesuatu kebaikan agar hidup mulia.
Jalan penyelesaian kepada dosa adalah bertaubat. Atasi kesusahan dengan usaha dan doa.

Friday, March 27, 2009

Emak Kaya Sifat Nabi

Kita sayang sangat-sangat dengan emak kita. Kala ini andai emak yang diingat telah tiada pasti airmata menitis merinduinya. Pasti sebak mencengkam dada. Andai emak masih ada depan mata rasa hendak ditatang sebaiknya. Sebak rasa didada kala melihat ada anak yang menengking emak semahunya. Tapi terlau ramai anak yang sengaja lambat menjawab bicara emak. Kerana emak kita bukan bonda di istana. Cuma manusia biasa-biasa di mata kita. Tetapi apabila bonda telah memejamkan mata cengkaman rindu baru terasa. Terasa sayang sangat-sangat padanya. Itulah fitrah naluri ibu dan anak tidak dapat dipisahkan.Kenapa kita sayang sangat-sangat dengan emak? Kerana emak kaya dengan sifat Nabi SAW. Nabi orang yang sangat berakhlak. Tutur kata dan perilakunya disenangi semua orang. Nabi orang yang paling Allah kasihi, mengasihi ibu bagaikan kita mengasihi Nabi SAW. Nabi doanya sangat makbul kerana Allah sayang. Ibu juga doanya makbul kerana Allah sayangkan ibu kerana ibu mewarisi peribadi luhur seorang Nabi. Ibu melalui pelbagai penderitaan dalam proses melahir dan membesarkan kita. Kata-kata ibu yang lemah-lembut, santun pekerti ibu yang kaya dengan sifat sabar, setia, pengasih dan menaruh harapan tinggi agar kehidupan anak senang dalam keberkatan Allah.Begitulah Nabi ketika berdakwah terus menaruh harapan dan tidak pernah putus asa dengan ragam umatnya umatnya. Kemuncak bukti terlalu kasihnya Rasulullah kepada umat sehingga kala baginda hendak wafat diminta kepada Allah SWT agar segala kesakitan sakaratulmaut umatnya di akhir zaman ini ditanggung oleh baginda. Sayangnya baginda pada kita umat yang tidak pernah dilihat tetapi terasa dekat dihatinya. Begitulah juga ibu. Kala anak sakit, ibu minta Allah diringankan atau pindahkan sakit itu pada ibu. Ibu rela menyanggupi segala kesakitan anak ditanggungnya. Ibu sanggup ‘pindahkan’ nyawanya asal anak hidup bahagia. Ibu sanggup pertaruh nyawa kala hendak melahirkan kita.Itulah ibu kita, terlalu merendah diri mengaku diri tidak pandai tetapi sebenarnya mereka bukan tidak pandai, tapi desakan dan kesusahan hidup menjadikan diri ibu kita terpaksa menerima kehidupan seadanya sesuai dengan kehendak zamannya ketika itu. Di atas ketekunan sifat baiknya dalam melayani karenah kita akhirnya kita menjadi orang berjaya, berpelajaran dan mampu menambah-baikkan kehidupan keluarga.Kita mesti jadi lebih baikEmak tetap emak, dan kita juga telah bergelar emak di era IT. Walau cara memasak dan menguruskan rumah kita banyak menggunakan butang kawalan, cara menghantar anak ke sekolah sudah tidak berkelek, sebaliknya turun kereta naik kereta, turun bas naik bas, tetapi harapan dan ungkapan untuk melihat anak menjadi orang berjaya malah lebih berjaya dari kita terus kita harapkan. Dan sangat-sangat mengharapkan..Bezanya cara kita menguruskan anak mengikut perkembangan zaman. Namun nilai-nilai murni baka kesolehan orang tua-tua, peribadi luhur warisan tinggalan emak mesti dikekalkan malah ditambah baikkan. Kita pelajari banyak ilmu dari guru-guru, melalui pembacaan, pergaulan dan pemerhatian maka semakin meningkat ilmu pengetahuan dan penghayatan agama telah kita perolehi. Kita kembangkan kepada anak-anak. Anak melihat bicara dan santun budi kita. Mereka adalah perakam setia peribadi kita, semuanya tercatat diminda anak-anak dan berbekas di hati. Yakinlah, apabila ibu bersungguh-sungguh mencontohi peribadi Nabi SAW sepanjang hayatnya, anak-anak juga akan berbangga mencontohinya walau secara tidak mereka sedari. Insya-Allah jalan hidup anak-anak akan berada dilandasan yang benar. Sebab apa yang dirakam akan dikeluarkan semula. Kerana janji Nabi SAW, barangsiapa yang menghidupkan sunahku akan beroleh keberkatan.Aku adalah ibu. Aku mahu berusaha gigih mendokong watak Nabi kerana walaupun Nabi seorang lelaki tetapi santun budi dan tutur katanya melengkapi peribadi seorang manusia kearah mencintai dan menyanjung Allah SWT. Harapanku semoga warisan kita berbangga dengan gelaran, ‘emak, mama, ibu, umi, mummy, bonda’ yang kita tinggalkan kepada mereka.Bagi ibu yang tidak pernah tahu apa yang dibuat selama ini merupakan sunnah Nabi, dan anggap itu sebagai rutin harian kembalilah memperhalusi perkerti. Tadahlah kitab-kitab hadis dan bergurulah. Selongkar kemuliaan keperibadian Nabi. Sesungguhnya nanti anda akan dapat jawapan, adab dan adat saling bersatu andai tidak disalahgunakan.SALAM MAULIDUR

Nostalgia Emak


Mengimbau kenangan silam kisah insan dipanggil ‘emak’.
Emak kaya dengan kata-kata. Emak kaya dengan macam-macam watak. Kata-kata dan sikap emak fleksibel mengikut perkembangan anak-anak.
Kala kita masih kecil, emak pelat-pelatkan cakapnya supaya kita seronok bercakap dengan emak. Emak suka peluk kita. Emak sembang macam-macam dengan kita. Emak agah-agah kita, kita terkekeh-kekeh ketawa. Emak seronok kita mengelekek ketawa walau kita tak pandai berbicara. Semakin galak kita mengekek semakin riuh mulut emak. Emak sedih kala kita demam, emak dodoi-dodoikan di bahunya dengan zikir, emak peluk, emak tepuk-tepuk redakan tangisan, emak demah seluruh badan asal kita segar kembali.
Kala menjejakkan kaki ke sekolah, emak juga paling gembira, emak masakkan air mandi dengan menggunakan kayu api. Emak gosokkan baju dengan seterika arang. Emak siapkan beg sekolah kita. Emak minyakkan rambut. Emak sikatkan rambut. Emak buatkan sarapan. Emak suapkan makanan. Emak bekalkan makanan. Emak cium kita sebelum ke sekolah. Pesan emak mendalam harapan, “belajar pandai-pandai jadi orang berguna, jangan nakal-nakal, hormat cikgu, jangan usik kawan, makan kongsi dengan kawan.”
Balik sekolah emak sambut dengan senyuman, ada mak yang sudah tunggu depan pagar sekolah siap berpayung. Ada yang dipimpin emak jalan bersama. Emak kesat peluh tatkala kita penat berjalan. Emak bawakan beg. Kekadang kita buat-buat manja, lenguh kaki berjalan mencangkung tepi jalan, emak tetap tersenyum. Emak pujuk dan emak dukung kita. Sebelah tangan pegang payung, sebelah lagi cepong kita. Bahu emak menggalas beg kita. Senget badan emak. Pun begitu mak tetap senyum, siap cium kita lagi walau berbau ‘hangit’ seharian di sekolah.
Kita peluk erat emak. Di atas bahu emak kepala terlentok ada ketika kita terlena. Ada harinya kita didukung tanpa payung. Kita dipakaikan topi. Kita diselimuti kain batik lepas emak.
Emak tidak mengapa berpanas, asal kita selesa dipangkunya. Memang emak mahu kita selesa sentiasa. Itu tidak dikira lagi jika hari hujan. Di rumah kala kita tidak sihat, tidak berselera makan, emak tanya lagi apa yang kita suka makan, emak akan buatkan. Jernih mata emak apabila melihat kita banyak makan.
Itulah rutin emak yang tak pernah jemu, kaya dengan senyuman, pujuk rayu dan kesantunan budi. Itulah caranya emak menyuburkan semangat kita untuk rajin ke sekolah, untuk jadi orang pandai. Cita-cita semua emak tidak mahu menyusahkan anak, sanggup diri susah dan terkorban. Pesan emak bertubi-tubi, “belajar rajin-rajin, jadi orang pandai. Bila pandai semua orang sayang. Ilmu boleh ubah kita jadi senang. Jaga akhlak. Jangan malukan keluarga. Mak tak pandai sebab mak orang susah.”
Itu sekelumit cerita ringkas seorang ‘emak’.

Mencari Ismail Akhir Zaman

Mengambil iktibar sejarah Siti Hajar a.s. berumah di padang pasir tandus bersama seorang anak, suami meninggalkannya bukan kerana benci tapi patuh dengan perintah Allah. Dalam pada itu suami terus mendoakan isteri selamat.
Hajar patuh kerana dikhabarkan itu perintah Allah. Dalam kepayahan kekeringan bekalan melangkah mencari air 7 kali berulang dari bukit Safa dan Marwa yang panas. Hajar tak pernah putus asa dalam membesarkan zuriatnya. Maruah diri dan kemuliaan sebagai isteri yang dititip terus dijaga. Hati si ibu sentiasa menyuburkan jiwa dan akal anak yang bernama Ismail a.s., bahawa si ayah insan yang hebat, insan penyayang, keluar meninggalkan keluarga atas tanggungjawab sebagai pemimpin kepada umat.
Kepada isteri, Ibrahim a.s. genggamkan amanah, jagalah anak sebaiknya. Ismail dididik jiwa menjadi manusia berakhlak diberikan pendidikan sebaiknya oleh ibunya . Hidup dalam kelompok ilmuan yang tumpang berkampung di bumi Makkah apabila dikhabarkan bumi itu telah dilimpahi air berkat – air zam-zam yang tak pernah kering sehingga kini.
Kesan didikan ibu yang mulia, anak bernama Ismail menjadi Nabi yang lemah-lembut dan penyantun sehebat peribadi bondanya. Sehinggakan ayahandanya Ibrahim mengkagumi peribadinya saat diri dipertaruhkan untuk dikorbankan. Ismail masih berlembut, masih menghormati ayah yang sekian lama tidak ditemui, masih terus bertanya apakah ini perintah Allah? Apabila perintah Allah menjadi keutamaan segala-gala urusan peribadi diketepikan demi keyakinan tauhid benar-benar pada Allah.
Alangkah payahnya untuk kita memiliki keyakinan seperti ini jika hati tidak sentiasa mengingati dan mencintai Allah sungguh-sungguh.
Tiga beranak ini meletakkan cinta Allah adalah untuk segala-galanya, di mana akhirnya Allah telah menghadiahkan satu hadiah yang cukup besar iaitu kemuliaan Aidil Adha dan bumi Makkah bumi paling berkat pengikat hati umat bersatu. Dari Ibrahim lahir zuriat bernama Ismail dan dari sulbi Ismail lahirnya manusia agung bernama Muhammad Rasulullah. Nabi juga dibesarkan tanpa kasih seorang ayah. Tanpa sempat menatap wajah ayah, tanpa pernah memanggil kalimah ‘ayah’ seperti Ismail a.s. Dibesarkan oleh ibu dalam limpahan kasih namun tidak lama, dibesarkan pula oleh datuk dan ayah saudaranya, belajar bermasyarakat dan berkongsi kasih dengan sepupu-sepupunya. Belajar menempuh pelbagai kesusahan dari kecil.
Mengambil iktibar kisah Siti Hajar dan Ismail dan juga kisah kehidupan Rasulullah bahawa proses untuk mendapat kesenangan hidup mesti bermula dengan kesusahan. Proses untuk melahirkan generasi muda sehebat Ismail juga mesti melalui pelbagai dugaan. Iktibar Siti hajar berulang alik dari bukit Safa ke Marwa itu adalah kehidupan seharian kita yang berulang alik keluar rumah mencari rezeki. Dengan pelbagai ujian panas hujan, kekangang masa, kesesakan di jalan raya, pelbagai ragam manusia tatkala berurusan dengan manusia. Cabaran untuk terus ‘berjalan dan berlari anak’ mengejar masa mengatur kehidupan keluarga tetap kekal kita rasai setiap hari.
Untuk membentuk generasi hari ini menjadi hebat, kita mesti merancang seperti mana bijaknya Siti Hajar merancang kehidupan anaknya. Ibrahim a.s. yang dari kejauhan juga tetap merancang terhadap zuriat dan isteri yang ditinggalkan, doa, ibadah, kiriman khabar kepada sesiapa yang ke Makkah tidak dilupakan. Nabi Ibrahim a.s. tetap ada ‘remote control’ untuk kawal keluarganya dari jauh.
Kesimpulannya, usaha menjayakan perancangan membentuk keluarga sakinah perlukan kesabaran dan pengorbanan bersama ibu dan ayah. Ia sebenarnya satu jihad (perjuangan). Bukan kejayaan yang menjadi ukuran, tetapi sudah berbuat melaksanakan tanggungjawab yang menjadi ukuran. Jika berjaya, maka ia merupakan satu pelaburan yang bijak dan bermakna untuk ibu bapa di alam baqa’. Sebaliknya jika gagal maka bersedialah menghadapi kemurkaan Allah sepertimana ancaman Allah dalam al-Quran surah An Nisa, ayat 9: “Dan hendaklah merasa takut kepada Allah, orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang anak-anak zuriat keturunan yang lemah Sebab Allah telah mengancam ibu bapa yang mati meninggalkan zuriat keturunan yang lemah.”
Generasi yang kuat pada fizikal,besar jiwanya, lurus dan benar akidahnya, betul serta sah ibadahnya. Teguh dan terpuji akhlaknya, terpelajar dan waras akalnya, kuat kemahuan, tidak mudah putus asa bercita-cita menjadi pejuang agama dalam apa jua bidang. Peka dengan ilmu kemahiran hidup mampu berusaha memasyarakatkan diri dengan kehidupan yang penuh berdikari. Alangkah idealnya cita-cita ini dan alangkah bahagia andai keinginan di atas berjaya dipenuhi. Hayati fokus ANIS APRIL 2008, menghuraikan‘Pengaruh Langsung Kesolehan Orang Tua’ yang perlu kita contohi untuk membentuk generasi seperti di atas.